Oleh: Nazialita Geynna Maharan

MENGLEMBU: Seorang warga emas maut setelah kenderaannya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Bandar Baru Menglembu di sini awal pagi Khamis.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan Ramli Lot berkata, pihaknya menerima panggilan pada sekitar jam 12.36 tengah malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati seorang mangsa lelaki warga emas berada di dalam kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya lagi.

Jelas Ramli, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, operasi tamat sepenuhnya pada sekitar jam 1.54 pagi.