GERIK: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi pacuan empat roda di Lata Bintang Hijau, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Md Roslan Shariff, 60, yang beralamat di Pandan Indah, Kuala Lumpur, dikatakan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.40 tengahari.

Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa keluar ke jalan utama oleh peserta ekspedisi yang lain.

“Maklumat daripada pemanggil, terdapat seorang mangsa telah didapati tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.