TAPAH, 26 DIS : Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang pelajar di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh – Teluk Intan, dekat sini, hari ini.

Mangsa, A. Erriah, 66, yang beralamat di Jalan Chui Chak, Langkap, maut ditempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 17 tahun dan seorang rakannya yang berusia 18 tahun, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning itu mempunyai lesen memandu yang tamat tahun 2022.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang apabila kereta Perodua Viva yang dipandu pelajar berkenaan dalam perjalanan menuju ke Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta itu telah hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada dihadapannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin berkata, kereta tersebut telah mengheret motosikal mangsa sehingga ke penghadang jalan besi di bahu jalan sebelah kiri.

“Motorsikal itu tersangkut pada penghadang besi manakala kereta pula melanggar penghadang besi dan terjunam ke bawah,” ujarnya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat pagi esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.