BATU GAJAH: Seorang warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bendera, Ara Payung, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Alang Halimah Amban, 70, yang dikatakan terbakar 60 peratus juga merupakan seorang cacat penglihatan dan pekak.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah-siasat.

“Punca kebakaran masih belum dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.11 tengahari.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan 30 X 25 yang musnah terbakar 90 peratus.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah menjalankan operasi pemadaman dengan dibantu oleh anggota dari BBP Seri Iskandar.

Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Shahril Abas.