PARIT : Seorang warga Indonesia dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Parit, Perak pada Selasa selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh, Sahrum Damanik, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Mengikut kertas pertuduhan, dia ditahan pada 23 Januari lalu di Wad Lelaki Hospital Changkat Melintang Bota selepas didapati tanpa sebarang kuasa yang sah, memiliki kad pengenalan bertaraf penduduk tetap di atas nama Honorejo Bajang.

Tertuduh yang memasuki Malaysia pada tahun 2012 mengaku memperolehi kad pengenalan tersebut daripada kenalannya dengan harga RM 1,400 dan menggunakannya untuk memohon pekerjaan di negara ini.

Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Pendakwaan dikendalikan pegawai Pendakwa Raya Jabatan Pendaftaran Negara negeri Perak, Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.