NILAI: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an mati rentung apabila rumah didiaminya di dalam sebuah dusun berhampiran Nilai Perdana di sini, terbakar petang tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 petang daripada orang awam berhubung kebakaran sebuah rumah di dalam dusun berkenaan.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dengan kekuatan 14 anggota bergegas ke lokasi dan sampai beberapa minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dapati struktur rumah papan yang terletak di tengah dusun buah-buahan itu sudah terbakar 100 peratus.
“Ketika mengalihkan bumbung untuk memadamkan kawasan kebakaran, anggota bomba menemukan satu mayat rentung,” katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya – berita harian