TAIPING: Seorang warga Korea Selatan maut apabila kenderaan jenis Perodua Myvinya terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 226.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Bukit Gantang pagi Khamis.

 Dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, mangsa, Kim Eun Woo, 44, seorang jurutera rangkaian maut apabila kenderaannya merempuh bahagian belakang lori yang berhenti di bahu jalan berhampiran R&R Bukit Gantang.

 Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superitendan Razlam Ab Hamid berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur merempuh lori di lokasi kejadian.

 ” MyVi tersebut melanggar bahagian belakang lori yang berada di bahu jalan menghampiri susur keluar R & R Bukit Gantang dan berikutan insiden itu pemandu yang merupakan warga Korea Selatan maut di tempat kejadian.

 “Mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 Menurut Razlam, pemandu MyVi tersebut telah dihantar ke Hospital Taiping bagi tindakan lanjut manakala pemandu lori berkenaan telah dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut.

 Katanya, buat masa ini pemandu lori berusia 23 tahun akan ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.