KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Myanmar ditahan selang beberapa jam selepas menyamun seorang wanita di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara berhampiran sebuah pasar borong di sini, Khamis lalu

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, wanita berkenaan yang berusia 25 tahun ditolak salah seorang suspek sehingga terjatuh sejurus keluar daripada kereta untuk ke tempat kerjanya di situ.

Suspek kemudian merampas beg galas wanita itu dan sempat mengugutnya menggunakan pisau agar tidak menjerit meminta pertolongan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan kecil di bahagian dada akibat terkena objek tajam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata susulan aduan yang diterima daripada mangsa, polis daerah ini menggerakkan Ops Cantas bagi memburu kedua-dua suspek terbabit.

“Kira-kira jam 12.30 tengahari, pasukan Ops Cantas berjaya mengesan kedudukan salah seorang suspek di Taman Sri Murni, berhampiran kawasan pasar borong.

“Suspek yang berusia 24 tahun itu akhirnya ditahan dan kita menemui semula beberapa barangan milik mangsa antaranya beg galas, jaket, telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus, dompet dan serta dokumen peribadi serta sebilah pisau berukuran 15.5 sentimeter,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di perkarangan IPD berkenaan.

Katanya, susulan tangkapan ke atas suspek pertama, polis berjaya mengesan suspek kedua yang akhirnya turut berjaya ditahan kira-kira jam 12.50 pagi, semalam di hadapan sebuah pangsapuri di Taman Sri Murni.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pekerja pasar borong itu adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Kita percaya kedua-dua suspek aktif melakukan kegiatan samun dan ragut di sekitar kawasan kejadian sejak lebih sebulan lalu namun setakat ini hanya satu laporan polis diterima, justeru kita minta sekiranya ada mangsa lain untuk tampil membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 5 April depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan – berita harian