IPOH: Seorang lelaki warga Nigeria bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki tempatan melibatkan kerugian wang RM21,800 sekitar Januari lepas.

Tertuduh Owo Jackson, 34, didakwa melakukan kesalahan memperdaya mangsa bersama seorang jurujual wanita Nurhidayu Azly, 24.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan mereka di Taman Desa Bercham di sini pada pukul 1.33 petang 17 Januari yang lepas.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa bersama-sama menipu Tee Boon Seong, 34, dengan memperdayakan mangsa menyerahkan wang RM21,800 ke dalam dua akaun berbeza bagi tujuan melepaskan wang tunai yang ditahan oleh pihak Kastam kerana membawa wang berlebihan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Nurhidayu diwakili peguam bela Ahmad Hafiz Abu Bakar dan peguam T. Ratnam pula mewakili Owo.
Nurul Qistini memohon mahkamah untuk tidak membenarkan mahkamah memberi ikat jamin terhadap tertuduh namun dibantah peguam bela memandangkan Nurhidayu merupakan seorang anak tunggal yang menjaga ibu bapanya manakala Owo pula merupakan seorang pelajar.

Majistret Nurul Hafizah membenarkan Nurhidayu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin manakala Owo diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan dia perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kedua-dua mereka membayar wang jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 25 April sebagai tarikh sebutan semula kes.