TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan lebih 800 warga pendidik sekitar Bagan Datuk

Lebih 800 warga pendidik di sekitar Bagan Datuk mengambil kesempatan beramah mesra dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Ahmad Zahid, yang tiba di majlis tersebut sekitar jam lima petang turut diiringi Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris.

Walaupun sehari suntuk menjelajah Bagan Datuk untuk program turun padang, Timbalan Perdana Menteri tetap bertenaga dan ceria sepanjang perjumpaan bersama warga pendidik itu.

Perjumpaan dengan warga pendidik itu merupakan antara aktiviti pertemuan Ahmad Zahid dengan kesemua pengundi berdaftar Bagan Datuk pada hari ini,

Pada perjumpaan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk beliau menyeru pengundi kalangan warga pendidik untuk menjadikan kerajaan sedia ada sebagai pilihan utama bagi meneruskan kelangsungan projek pembangunan yang kini sedang giat dilaksanakan.

“Sekarang ini, sebanyak 38 projek pembangunan sedang dan telah dilaksanakan di daerah itu. Segala pembangunan ini tidak datang dari langit, kita harus berusaha. Segala peruntukan itu datang dengan jawatan saya, bukan ambil kesempatan tapi demi untuk penduduk Bagan Datuk,” katanya lagi.