LANGKAWI: Lelaki warga Perancis yang dikesan memakai gelang berwarna merah jambu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Langkawi, petang semalam, telah diarah untuk menjalani kuarantin di Klinik Kesihatan Ayer Hangat, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Warga Perancis itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat untuk kuarantin dan tidak dibenarkan kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikesan memakai gelang berwarna merah jambu, ketika tiba di LTAB Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Dia menjalani saringan COVID-19 di KLIA sejurus tiba dari Doha, Qatar, dan susulan keputusannya negatif, lelaki terbabit dibenar menjalani kuarantin di rumah sewanya di Langkawi.

Lelaki itu juga diarah bertemu dengan pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kedah pada 1 Sept, sebelum dijadual untuk menjalani ujian calitan kali kedua pada keesokannya.- BERNAMA