Oleh: Nazialita Geynna Maharan

MANJUNG: Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan diharap akan memacu pertumbuhan ekonomi dengan pesat di Lekir dan kawasan sekitarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pada masa yang sama, persiapan untuk memastikan pelan pemerkasaan ekonomi di kawasan itu juga perlu dilengkapi dengan rancangan yang tersusun oleh pihak kerajaan negeri serta pihak berwajib.

Jelasnya, oleh itu, pihak kerajaan negeri akan meneliti keperluan dan kelebihan kawasan sekitar Lekir untuk memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara holistik.

“Lekir merupakan salah satu daripada 12 pekan kecil yang diwujudkan oleh kerajaan negeri di seluruh Perak dan apa yang kita dapati, setakat ini, ia menunjukkan perkembangan yang baik khususnya dari sektor kegiatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Dataran Amanjaya Lekir,di sini hari ini.

Dr Zambry berkata, dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan 36 buah pekan kecil baru yang kini dalam perancangan untuk dibangunkan secara berperingkat.

Tambahnya, inisiatif yang telah berjalan sejak tiga tahun lalu itu menelan kos purata sebanyak RM 2.5 juta.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.