IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama di negeri ini.

Titah baginda, satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentang untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak ke-14.

Baginda bertitah, di dalam struktur Mahkamah Syariah pada masa ini, hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Mahkamah Syariah adalah salah satu komponen di dalam urusan pentadbiran agama Islam. Pada ketika ini, terdapat tiga lapisan Mahkamah Syariah, iaitu, Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah,” titah baginda di istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke- 14 pada Isnin.

Baginda bertitah, bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah adalah terbatas untuk membicarakan kes-kes jenayah yang hukuman maksimum tidak melebihi denda RM3,000 atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun, atau kedua-duanya.

“Dalam bidang kuasa kes-kes bukan jenayah (Mal), Mahkamah Rendah Syariah, dibatasi kuasa, mendengar dan memutuskan pertikaian yang melibatkan amaun tidak melebihi RM100,000 dan tidak termasuk tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) dan harta sepencarian.

“Keputusan kes di peringkat Mahkamah Rendah Syariah berpeluang mengemukakan dua peringkat rayuan iaitu di Mahkamah Tinggi Syariah dan selanjutnya di Mahkamah Rayuan Syariah,” titah baginda.