IPOH: Kesibukkan mengalas tugas harian sebagai Menteri Besar baharu memenuhi program-program negeri tidak membataskan keterbukaan YAB Ahmad Faizal Azumu memenuhi undangan rakyat yang mahu beliau meluangkan masa bersama mereka.

Tidak mahu menghampakan permintaan, beliau mengambil langkah singgah sebentar dalam perjalanan pulang ke Ipoh untuk bersantai bersama 200 peniaga Meru Raya walaupun sudah agak lewat malam.

Beliau yang tiba sekitar 11.20 malam selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, dibawa ke Restoran Pokok Belacan serta dijamu durian.

“Maafkan saya kerana lewat. Saya mengejar masa namun kesabaran anda menantikan kedatangan saya amat saya hargai. Saya harapkan sokongan ini akan berterusan,” ujarnya ringkas.

Pada sesi lepak santai itu, peniaga mengambil peluang bermesra serta bergambar dengan pemimpin rakyat itu.

Peniaga turut berkesempatan mengetengahkan isu dihadapi seperti aspek keselamatan dan kebersihan di kawasan mereka mencari sumber rezeki.

Turut hadir pada sesi itu ialah Ketua Balai Polis Jelapang, penduduk sekitar dan pengusaha kafe-kafe serta restoran Bandar Meru Raya seperti Cottage Cafe, Hot Deli’s Cafe, dan Char Kuey Tiaw Abang Sayang.

1/2