BAGAN SERAI – Usaha dan keprihatinan MK Land dalam memelihara dan menternak haiwan menerusi beberapa program kerjasama dengan tiga yayasan merupakan antara usaha dalam memastikan haiwan-haiwan tidak pupus dalam persekitaran, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah yang bernaung di bawah syarikat pembangunan hartanah terkemuka itu menunjukkan contoh terbaik sebagai entiti perniagaan yang berjaya memberi semula sebahagian keuntungannya kepada masyarakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kurniaan tuhan ini iaitu binatang-binatang yang pada satu masa berada di merata-merata tempat tetapi kerana manusia kadang-kadang begitu ganas membunuh binatang sehingga hilang beberapa spesis dalam dunia ini.

“Oleh itu, kita ingin kekalkan spesis-spesis yang masih ada dan satu daripada caranya ialah mempunyai satu projek untuk menternak atau membiak binatang-binatang ini. Inilah yang dilakukan oleh MK Land dan saya ucapkan tahniah kepada mereka,” katanya kepada sidang media selepas majlis menandatangani MoU Persahabatan dan Kerjasama, Promosi Persefahaman Bersama, Akademik, Budaya dan Pemikiran Saintifik dan Pertukaran Kakitangan dan Upacara Majlis Penyerahan Pemulangan Orang Utan secara Simbolik kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak, di Bukit Merah Laketown Resort, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan YPOUBM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mempromosikan kerjasama akademik bertaraf antarabangsa.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said bersama Ketua Pegawai Eksekutif ketiga-tiga yayasan iaitu Zainon Kasim, Datuk Dr Abdul Rashid Malik dan Dr D Sabapathy.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Tun Siti Hasmah Mohd Ali, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, serta Pengerusi dan Penasihat Yayasan, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

1/5