GERIK: Gajah jantan yang ditangkap di kawasan ladang getah di sempadan Kampung Plang dan Kampung Jong, dekat sini Isnin lalu, berjaya dipindahkan ke Taman Negara di Terengganu hari ini.

Gajah yang diberi nama Yeop Jong itu berusia sekitar 14 tahun dengan berat antara 1,800 dan 2,000 kilogram.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah yang berkeliaran bersendirian itu berjaya
ditangkap anggota Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) hasil maklumat penduduk kampung.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, didapati gajah itu terpisah daripada kumpulannya di Hutan Simpan Gerik yang menjadi kawasan rayaunya sebelum berkeliaran untuk mencari kumpulannya semula.

“Penduduk berada dalam ketakutan untuk ke ladang getah mereka, selain merosakkan tanaman seperti getah, kelapa, tebu dan durian, gajah itu juga masuk hingga ke dalam kampung dan menghampiri rumah-rumah penduduk,” katanya di sini.

Yusoff berkata, gajah itu merupakan daripada ID Kumpulan Belum yang dianggarkan sekitar 40 ke 50 ekor yang disebut gajah konflik yang sering mengganggu kawasan Felda Bersia, Kampung Pecah Batu, Bongor, Jslan Raya Timur Barat dan lain-lain.

“Gajah ini merupakan gajah kedua ditangkap oleh UTGP di kawasan ini, gajah pertama ditangkap pada 2019 dan telah dipindahkan ke Santuari Gajah, Terengganu,” ujarnya.

Kerja-kerja pemindahan dilakukan 20 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah kebangsaan (PKGK) Lanchang, Pahang dan PERHILITAN Perak dengan khidmat dua denak bernama Rambai dan Alam.

Proses pemindahan yang bermula jam 10 pagi selesai jam 2.00 petang, turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed dan penduduk kampung.

Menurut Yusoff, proses pemindahan berjalan lancar dan tidak ada apa-apa masalah yang timbul, kecuali sedikit kelewatan kerana kerja-kerja menggali tanah untuk diletapkkan trailer yang akan membawa gajah jantan itu memakan masa agak lama.

Katanya, kehadiran orang ramai yang menyaksikan proses pemindahan adalah perkara biasa dan mereka juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.