TOKYO: Ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) Yoshihide Suga sah dipilih sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu, menggantikan Abe Shinzo, pada Rabu.

Agensi CNN melaporkan Suga, 71, menyandang jawatan berkenaan selepas memenangi majoriti undi daripada badan perundangan negara, Diet, di Parlimen, iaitu 315 daripada 465 undi di Dewan Rakyat, dan 142 daripada 240 undi di Dewan Negara.

Pemimpin LDP itu menggantikan Abe, yang sebelum ini mengumumkan perletakan jawatan susulan masalah kesihatan berkaitan dengan colitis – iaitu sejenis penyakit radang usus.

Perdana Menteri Jepun baharu itu akan mengumumkan barisan Kabinetnya sendiri, yang berkemungkinan besar terdiri daripada menteri yang telahpun dilantik oleh Abe, sebelum mengangkat sumpah secara rasmi di hadapan Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, hari ini.

Pelantikan Suga bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau dilihat sebagai orang kanan Abe selama lapan tahun, dan memegang jawatan kanan seperti Ketua Setiausaha Kabinet, iaitu jawatan yang menggabungkan peranan Ketua Staf dan Setiausaha Akhbar.

Suga juga dilihat sebagai seorang operator politik yang mampu melaksanakan sesuatu tugasan dengan efektif, termasuk bekerja rapat dengan Abe untuk merealisasikan Abenomics, iaitu beberapa siri polisi untuk mengukuhkan kembali ekonomi Jepun.