GOPENG– Cuti persekolahan yang masih berbaki beberapa hari saja lagi dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan budaya ilmu kepada pelajar sekolah di parlimen Kampar.
Karnival ‘Book Lover’ sempena program Semarak Rakyat Tualang Sekah yang berlangsung di The Kandu ini merupakan salah satu program induk Yayasan Pendidikan Kampar (YPK) bagi memperkasakan sekolah kebangsaan sejak 25 tahun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak yang juga ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi,usaha YPK selama ini adalah untuk memberikan akses pendidikan berkualiti menerusi program yang dianjurkan termasuk aktiviti di luar kawasan sekolah.


“Yayasan Pendidikan Kampar bersama UMNO Kampar menjalankan program ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa pelajar yang sanggup menjadi sukarelawan dengan membuka rumah mereka sebagai tempat untuk adakan kelas, di samping ia dikendalikan sendiri oleh mereka.
“Antara pengisian yang dijalankan setakat ini seperti kem bahasa Inggeris dan teknik menjawab soalan, setakat ini kita berjaya mencapai kelulusan seratus peratus di peringkat sekolah kebangsaan. Kita bukan sekadar kejar kuantiti tetapi kualiti itu lebih penting,”katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah.
Beliau berkata demikian di karnival tersebut yang turut dihadiri oleh Pengerusi YPK, Datin Normah Hanum Ibrahim.
Kira-kira 123 pelajar menyertai karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, tidak ketinggalan ibu bapa yang menemani anak-anak bersempena cuti sekolah.
Sementara itu, Normah dalam ucapannya berkata budaya membaca kini penting dalam melahirkan anak-anak yang luas ilmu pengetahuan.
“Zaman sudah berubah dengan pelbagai medium untuk bahan bacaan, namun pencinta ilmu yang sebenar adalah mereka yang menjadikan buku sebagai medium asas. Amalkan budaya membaca sejak di bangku sekolah lagi untuk buka minda anda,”kata Normah.