KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada semua ahli berkaitan kerjasama parti itu dengan saingan politiknya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, keputusan PRN Sabah menunjukkan strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan malah semakin memencilkan peranannya di negeri itu.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya.

“Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatannya dan tidak boleh membiarkan PRN Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

“Menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui ‘Langkah Sheraton’ adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir.

“Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui Barisan Nasional dan bukannya platform politik lain.

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.

Tegasnya, jika terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN sdalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, putuskan sedemikian dengan segera agar persediaan dapat dibuat.

“Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan UMNO ke landasan sebenarnya. Kusut di hujung, balik lah ke pangkal.

“Marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan didukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya.