KAMUNTING – Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Zahir Abd Khalid mengesahkan beliau sudah bersedia untuk mempertahankan kerusi Kamunting yang disadangnya sekiranya dicalonkan semula.

 

Menurut wakil rakyat itu beliau pada masa sama juga sudah bersedia mental dan fizikal sekiranya dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang.

 

Beliau bagaimana pun berkata keputusan sama ada menjadi calon kerusi DUN atau parlimen itu hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.

 

“Sebagai (team player) pemain pasukan saya terima apa jua keputusan dari pucuk pimpinan sama ada minta saya bertanding kerusi DUN Kamunting atau Parlimen Bukit Gantang,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Khidmat DUN Kamunting.

 

Zahir merupakan wakil rakyat dua penggal bagi DUN Kamunting berkata beliau bersedia menerima tanggungjawab yang diamanahkan dalam apa jua posisi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

 

“Saya sebagai ahli yang taat setia kepada parti, ibarat dalam pasukan bola sepak kalau mereka minta saya main sama ada di posisi forward (penyerang), midfielder, goalkeeper (penjaga gawang), tukang bawa air mahu pun tukang sorak… saya terima keputusan itu.

 

“Pendek kata jika pucuk pimpinan parti iaitu Perdana Menteri, Menteri Besar atau Presiden Perhubungan Parti mahu letak saya di bahagian mana sekalipun saya terima asalkan pasukan saya menang,”katanya ketika diminta menjawab teka teki sama ada akan bertanding bagi kerusi DUN atau Parlimen.