IPOH: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menjelaskan keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden bukan disebabkan Tan Sri Annuar Musa tidak bertanding jawatan Presiden.

Sebaliknya, jelas beliau, beliau mahu memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Menurut Zainol, beliau membuat keputusan itu juga demi kepentingan kerajaan negeri di mana beliau merupakan salah seorang anggota Exco yang perlu melaksanakan banyak lagi perkara terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Setelah berfikir panjang dan mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) untuk memaklumkan tentang keputusan saya untuk menarik diri.

“Pada dasarnya beliau pun menerima pandangan saya, terutama dalam keadaan saya sebagai Exco kerajaan negeri ada keutamaan yang perlu diberikan kepada jentera di peringkat negeri dalam melaksanakan dasar-dasar yang banyak lagi belum selesai,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.

Zainol berkata, beliau memohon maaf kerana membuat keputusan di saat akhir walaupun esok akan diadakan kongres tetapi yakin ia akan memudahkan pihak sekretariat untuk mengadakan sistem pengundian.

Semalam, Annuar Musa mengumumkan penarikan diri sebagai calon presiden FAM, sekaligus memberi laluan kepada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menang tanpa bertanding selaku presiden bagi penggal 2017-2021.