KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindak-tanduk dan kata-kata penceramah dari India, Dr Zakir Naik nampak seperti dia mahu melibatkan diri dalam politik negara.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan Naik jelas membangkitkan rasa perkauman dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, bagi saya, ianya sangat bahaya. Saya fikir, beliau patut disiasat. Segala apa tindakan yang diambil akan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media di satu kongres antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir menegaskan penceramah agama asing dialu-alukan berceramah, tetapi tidak patut mencampuri politik.

Beliau berkata kerajaan Malaysia juga sentiasa berhati-hati dalam kenyataannya, memikirkan sensitiviti pelbagai kaum di sini.

“Saya tak pernah sebut ‘Cina balik China’ atau suruh Melayu kata kepada Cina, suruh mereka balik,” katanya.