GOMBAK: Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada sesiapa terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk penceramah kontroversi Zakir Naik jika mereka terbukti melakukan kesalahan dalam siasatan polis.

Muhyiddin berkata, walaupun Naik menerima banyak sokongan dan mendapat jemputan bertemu dengan pemimpin parti politik termasuk menteri dari PPBM, siasatan terhadapnya tidak akan memberi kesan.

“Tak bermakna kita terikat dengan pandangan-pandangan mereka. Kita bertindak atas dasar ‘the rule of law’.

“Maka kalau ia sesuai, ia boleh diguna pakai,” katanya sambil menambah siasatan terperinci mesti dilakukan sebelum tindakan dibuat terhadap Naik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam seminar antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Muhyiddin berkata, status Naik sebagai penduduk tetap memperuntukkan pendakwah itu patuh kepada peraturan dan undang-undang negara.

Katanya, status yang diberikan negara kepada pendakwah itu sepatutnya dihargai dan dianggap sebagai anugerah.

“Dan dia tidak boleh melanggar etika dan juga undang-undang. Bukan kita tak hormat, jangan salah faham.

“Dia tokoh agama, betul. Tapi kalau kadang-kadang, dia menyentuh isu macam sekarang, kita tidak boleh biarkan juga,” katanya.

Hal itu katanya, katanya, ucapan Naik mencetuskan keadaan yang tidak stabil dan rasa tidak puas hati yang merebak luas.

“Jadi, dia tidak terkecuali atas soal keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, polis melarang Naik menyampaikan ceramah awam di seluruh negara, termasuk di media sosial.

Sebanyak 7 negeri melarang ceramahnya antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.