TAIPING: Zoo Taiping dan Night Safari akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 15 Jun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, mulai tarikh itu, Zoo Taiping akan beroperasi antara 8.30 pagi hingga 6 petang manakala waktu operasi Night Safari pula dari 8 hingga 10 malam.

“Terdapat pindaan pada waktu tamat operasi Night Safari iaitu sejam lebih awal pada hari bekerja dan dua jam lebih awal pada hari cuti umum dan pada hujung minggu, berbanding waktu sebelum ini,” katanya di sini, petang semalam.

Nolee berkata, untuk menggalakkan kedatangan semula pengunjung, Majlis Perbandaran Taiping menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada semua pelawat mulai 15 Jun hingga 15 Julai.

“Sekiranya sambutan baik, mungkin kita menawarkan lebih banyak pakej dan promosi untuk Zoo Taiping,” ujarnya.

Menurutnya, dengan diskaun itu, pengunjung dewasa ke Zoo Taiping hanya perlu membayar RM13 berbanding RM15 harga biasa manakala kanak-kanak hanya RM6 berbanding RM8 sebelum diskaun.

Bagi Night Safari pula, kata beliau, dewasa hanya dikenakan RM16 berbanding harga biasa RM20 manakala kanak-kanak hanya RM8 berbanding harga asal RM10.

Dalam pada itu, pihak Zoo Taiping akan membenarkan hanya 1,250 pengunjung dalam satu-satu masa bagi tempoh angaran antara dua hingga tiga jam.

Pengunjung dinasihatkan memakai penutup hidup dan mulut di samping mematuhi penjarakan sosial dan SOP yang telah ditetapkan.