Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir

TAIPING: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) menerima kelahiran tiga ekor anak Harimau Malaya, yang jantinanya masih belum dikenalpasti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, berat anak Harimau Malaya yang dilahirkan pada 12 April itu dianggarkan seberat 700 hingga 900 gram.

Ia dilahirkan oleh ibunya, seekor Harimau Malaya dewasa berusia 11 tahun yang turut dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada tahun 2009.

“Pengumuman kelahiran tiga ekor anak Harimau Malaya, yang jantinanya masih belum dikenalpasti pada 12 April 2020.

“Kini Zoo Taiping mempunyai 8 ekor Harimau Malaya termasuk anak yang baru dilahirkan itu.

“Setiap anak Harimau Malaya yang lahir akan hidup bersama ibunya lebih kurang 18 bulan manakala tempoh penceraian susu sekitar umur 3 bulan hingga 4 bulan,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus berkata, ia merupakan kelahiran yang keempat berjaya disambut oleh ZTNS selepas kelahiran terakhir pada tahun 2009.

Ujarnya, kebiasaannya Harimau Malaya hidup selama 16 tahun hingga 20 tahun.

“ZTNS telah menyediakan tempat untuk ibu harimau ini melahirkan anak, setelah ia mengawan secara semulajadi pada awal Januari, 2020.

“Kelahiran anak Harimau Malaya ini telah disedari oleh penjaga dia pada awal 12 April lalu.

“Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni merupakan spesis haiwan yang hidup secara bersendirian atau ‘solitary’.

“Semoga sasaran penambahan populasi Harimau Malaya meningkat menjadi 500 ekor dalam tempoh lima tahun akan datang dapat menjadi kenyataan,”katanya.

Kini, Harimau Malaya diancam kepupusan pada tahap kritikal (zon merah) oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Dalam pada itu, ZTNS telah ditutup kepada orang awam mulai 18 Mac 2020 susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

Kerja-kerja menjaga kebajikan haiwan di ZTNS masih diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan dan pematauan terhadap haiwan-haiwan di sini dilakukan dengan lebih kerap