KUALA LUMPUR: Pelumba SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin gembira dengan peningkatan yang dipamerkan selepas mencatat masa memberangsangkan sepanjang tiga hari sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang.

Sesi ujian pertama Zulfahmi bersama pasukan Moto2 di Valencia awal bulan ini sedikit terganggu kerana cuaca buruk dan dia menikmati lebih banyak masa di Sepang dengan meraih pusingan terpantas dua minit 8.23 saat.

“Saya gembira dapat melakukan ujian di Malaysia dengan cuaca yang amat baik sepanjang tiga hari dan kami boleh melakukan pelbagai kerja dalam banyak perkara,” kata Zulfahmi.

“Saya banyak belajar mengenai jentera Moto2 selain mendapat peluang bekerja bersama keseluruhan pasukan.

“Bagi sesi ujian, kami banyak memberi fokus kepada casis dan mencuba banyak perkara berbeza, terutama di bahagian depan jentera.

“Ia membantu saya untuk menjadikan jentera lebih baik. Saya meneruskan peningkatan dalam persembahan dan memecut jentera dengan lebih pantas pada setiap pusingan.

“Saya rasa semakin selesa dengan jentera Moto2 berbanding ketika ujian di Valencia, satu perbezaan yang besar. Kami melakukan banyak pusingan dan menjadi hari yang padat tapi berjaya.”

Zulfahmi, yang menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Moto3, diikat pada saat akhir sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang dijangka bertanding dalam MotoGP tahun ini bersama Monster Yamaha Tech 3.

Musim baharu perlumbaan motosikal dunia akan bermula di Grand Prix Qatar dari 16 hingga 18 Mac depan – berita harian