KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, sedia berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek rundingan terus di bawah kementeriannya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH

Zuraida berkata, beliau sedia bekerjasama dan sudah mengumpul semua maklumat dan surat berkaitan projek berkenaan untuk diserahkan kepada SPRM, jika dipanggil bagi siasatan.

“Saya sudah dapat (surat ) dan semua sudah ‘compile’ (kumpulkan). Jika ada yang mahu siasat, tiada masalah. Semua itu ada dalam fail, jadi kalau ada siasatan lanjut oleh SPRM, saya akan beri dokumen itu.

“Saya sudah bersedia dan tidak mahu panjangkan kepada pihak media, ” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Taman Midah, Cheras, di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid merangkap Pengerusi Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mencabar beliau mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek KPKT yang diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Guan Eng mendakwa Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta dimohon sendiri oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam pada itu, Zuraida menegaskan, rundingan terus sememangnya dibenarkan mengikut peraturan kewangan negara, namun urusan itu dipantau Ketua Setiausaha (KSU).

“Tetapi oleh kerana ketidak bertanggungjawaban, itu yang kita persoalkan. Ketika itu, kita masih baru, mungkin tidak terlibat,” katanya